Wednesday 25 February 2009

LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE LEMBAGA KEMAJUAN BINTULU

TAKLIMAT 5S DI WISMA BINDA, BINTULU





Pada 25.02.2009 pihak pengurusan Hospital Bintulu telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Wisma BDA, Bintulu. Lawatan ini bertujuan berkongsi ilmu berkaitan pelaksanaan program 5S di organisasi berkenaan serta pengalaman mereka. Seramai 20 orang Ketua Unit daripada Hospital Bintulu diketuai oleh Pengarah Hospital, Dr.Azlee Ayub. Objektif lawatan berkenaan adalah untuk memahami prinsip dan aplikasi program amalan 5S secara berkesan dan mempelajari kaedah pelaksanaan program 5S secara sistematik.

USAHA KE ARAH KEPENTINGAN PENAMBAHBAIKAN ORGANISASI


Amalan Persekitaran Berkualiti (5S) adalah satu konsep mewujudkan persekitaran berkualiti secara sistematik dan praktikal. Melalui amalan ini tempat kerja menjadi lebih teratur, selesa dan selamat sepanjang masa. Oleh itu, kerja akan menjadi lebih produktif, cekap, serta dapat menjimatkan kos. Amalan Persekitaran Berkualiti (5S) dapat melatih pekerja agar lebih bertanggungjawab dan berbudaya kualiti bagi menghasilkan tahap kecekapan proses yang tinggi ke arah meningkatkan produktiviti dan kualiti organisasi. Amalan Persekitaran Berkualiti (5S) dapat menjadikan tempat kerja lebih efisien dan produktif ke arah kecemerlangan organisasi.

Saturday 21 February 2009

AKTIVITI PEMBELAJARAN BERTERUSAN



TINGKAP JOHARI

Pada 10.02.2009 satu sessi penerangan dan berkongsi maklumat telah diadakan bersama staf Unit Nefrologi berkaitan Tingkap Johari. Maklumat ini penting kerana bersesuaian dengan trend semasa untuk menerapkan nilai-nilai 'soft skill' di kalangan anggota.

Tingkap Johari ialah satu teori personaliti yang diperkenalkan oleh Joseph Luft dan Harrington Ingham.

Tingkap Johari menunjukkan satu cara melihat diri sendiri. Keempat-empat bahagian di dalam rajah Tingkap Johari menunjukkan sifat-sifat diri apabila berinteraksi dengan orang lain. Jika satu daripada tingkap berubah ia akan melibatkan tingkap-tingkap yang lain. Apa-apa perkara yang anda sedari tentang diri anda dan ada juga perkara-perkara yang anda tidak sedar tetapi disedari oleh orang lain.

Tingkap 1 (bebas) mewakili diri anda yang anda perlihatkan kepada orang lain seperti nama, keluarga, tempat tinggal dan lain-lain. Maklumat-maklumat yang anda kongsi dengan orang lain adalah selamat dan tidak mengancam anda.


Tingkap 2 (Tidak disedari) mewakili diri anda yang anda tidak tahu dan tidak sedar tetapi disedari oleh orang lain seperti tingkah laku anda, kesan suara atau bahasa yang anda gunakan. Gaya berjalan dan lain-lain. Anda tidak dapat menilai diri sendiri tetapi orang lain akan menilai anda daripada apa yang mereka lihat dan alami semasa berinteraksi dengan anda.


Tingkap 3 (Tersembunyi) mewakili diri anda yang anda tidak mahu diketahui oleh orang lain dan anda jaga dengan rapi. Anda tidak suka apabila orang cuba mencungkil. Contohnya. Perasaan anda terhadap seseorang atau sesuatu. Rahsia yang dipendam. Keinginan anda, angan-angan dan lain-lain. Anda berasa terancam apabila rahsia atau perasaan yang anda pendam cuba dicerobohi oleh orang lain. Anda rela berkongsi maklumat sulit ini jika telah ada kepercayaan.


Tingkap 4 ( Tidak Diketahui Langsung ) mewakili diri yang anda tidak ketahui. Begitu juga orang lain. Ia terletak di bawah sedar dan mungkin timbul melalui mimpi, gerak hati dan hipnosis.
Meluas dan mengecilkan tingkap-tingkap tersebut bergantiung kepada maklumbalas dan pendedahan diri. Apabila satu perhubungan telah bertambah mesra maklumbalas dan pendedahan diri diberi tanpa ragu-ragu kerana terdapat kepercayaan. Dengan ini Tingkap 1 (bebas) bertambah besar. Hasilnya tingkap 2 (Tidak Disedari) menjadi kecil kerana maklum balas yang diterima. Tingkap 3 (tersembunyi) juga turut menjadi kecil kerana pendedahan diri akan dilakukan dengan lebih rela disebabkan kurang rasa terancam. Tingkap 4 menjadi kecil secara berturut-turut. Ini berlaku kerana interaksi dan hubungan menjadi rapat, anda lebih rela berkongsi pendapat, perasaan dan lain-lain serta memberitahu kepada rakan-rakan anda. dI antara anda dan rakan telah timbul rasa percaya-mempercayai dan berani pula mengambil risiko. Cara ini meneguhkan lagi hubungan.












BUAH PINGGANG ROSAK


Gejala bengkak khususnya pada muka dan keliling mata, pergelangan tangan, abdome, paha dan buku lali; air kencing berbuih, bercampur darah atau berubah menjadi pekat(berwarna gelap); kerap buang air kecil walaupun minum sedikit dan berasa sakit setiap kali buang air kecil antara tanda penting bagi kerosakan buah pinggang.

Kerosakan buah pinggang juga menyebabkan seseorang merasa tidak sihat, pucat, cepat penat; tekanan darah meningkat, lebih kerap buang air kecil pada waktu malam, kitaran haid terganggu, hilang keinginan seks(atau mati pucuk), selera makan merosot dan mulut terasa pahit dan sukar tidur.

Namun, masalahnya gejala disenaraikan di atas hanya muncul apabila buah pinggang mengalami kerosakan teruk. Kebanyakan pesakit tidak sedar mereka mengalami masalah ini kerana kerosakan buah pinggang berlaku secara senyap tanpa gejala.

Buah pinggang yang mengalami 70%kerosakan masih boleh menapis darah dengan baik dan masalah kesihatan hanya muncul jika jumlah fungsi kedua-dua buah pinggang kurang daripada 30%.

Ianya kini menjadi masalah yang semakin membimbangkan kerana ia berkait rapat dengan kencing manis. Setiap tahun dianggarkan 2,500 orang mengalami kerosakan buah pinggang dan sehingga 2008, lebih 15,800 kes dialisis dengan 1,157 kes baru.

HARI INI DALAM SEJARAH



Pada 20.02.2009, Unit Nefrologi telah menerima mesin ECG yang baru. Sebelum ini kita tidak dibekalkan mesin ECG tetapi hanya bergantung pada mesin Defibrillator. Kemudahan ini sangat diperlukan berikutan perkembangan semasa. Dengan mesin berkenaan sekurang-kurangnya dapat mempertingkatkan mutu perkhidmatan terutama sekali dalam pengurusan rawatan nefrologi.

AKREDITASI HOSPITAL- MENGGAPAI IMPIAN

Hospital Bintulu sekali lagi akan menghadapi ujian getir menjelang resurvey ke3 Akreditasi Hospital pada September 2009. Lebih kurang 7 bulan lagi segala persiapan ke arah itu perlu disusun rapi mulai sekarang. Semua warga hospital perlu berganding bahu memerah tenaga supaya tidak keciciran.

Dalam kerangka memperolehi dan mempertahankan status akreditasi ini sistem yang sedia ada perlu dinilai semula. Hasilnya untuk menambat hati pelanggan agar fasiliti kita sentiasa mendapat tempat di hati mereka. Kualiti sesebuah hospital diukur berdasarkan aspek keselamatan dalam semua hal, termasuk rawatan, kawalan jangkitan dan persekitaran. Tiada cara khusus untuk menentukan hospital mana yang baik atau sebaliknya kerana setiap hospital ada kelebihan dan kekurangan.

Akreditasi MSQH bermakna hospital itu mempunyai prestasi cemerlang dalam penjagaan pesakit, pencapaian kualiti yang diadili badan persendirian membabitkan pakar perubatan, menggalakkan pembangunan organisasi secara berterusan, memperbaiki sistem penjagaan pesakit, mengawal penggunaan antibiotik serta mengurangkan risiko dan mengutamakan keselamatan pesakit.

BERKONGSI MAKLUMAT DENGAN DIALISIS NGO




BERKONGSI MAKLUMAT DENGAN PUSAT DIALISIS NGO

Pada 12.02.2009 satu sessi berkongsi maklumat berkaitan hemodialisis telah diadakan bersama staf Pusat Dialisis NGO (SJAM), Bintulu. Sessi ini julung kali diadakan sebagai percubaan ke arah komunikasi dua hala di samping berkongsi informasi. Dua orang staf Pusat Dialisis SJAM telah berusaha untuk menghadiri sessi pertama ini. Mereka sangat gembira kerana dapat berkongsi ilmu. Ilmu ini dapat diaplikasikan oleh mereka semasa mengendali pelanggan mereka kelak.

AKTIVITI BIMBINGAN



AKTIVITI BIMBINGAN KONSEP BUDDY

Bimbingan kepada staf baru dipertingkatkan dengan menerapkan konsep buddy. Dua orang staf baru (JT Senia dan JT Murin) dari masa ke semasa akan diberi pendedahan supaya mereka akan menjadi mahir apabila bertugas di Unit Nefrologi. Program bimbingan berkenaan merangkumi skop perkhidmatan nefrologi secara menyeluruh. Salah satu aktiviti yang diberi perhatian ialah aspek teori dan praktikal.